Maklumat Salah Disebarkan – Pelajar Kecewa Dituduh Terlibat Kes Buli

Pelajar Kecewa Dituduh Terlibat Kes Buli


BUTTERWORTH — Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah
Sekolah Menengah di sini kecewa kerana dituduh membuli seorang pelajar lain
bulan lalu.
Luqman Al Hakim Ahmad, 15, menafikan bahawa dia terlibat dengan kes itu dan
telah membuat laporan polis sebaik mengetahui gambarnya dimuat naik di laman
sosial dan dianggap sebagai suspek utama kejadian itu.
Dia turut merasa trauma untuk keluar rumah, katanya.
“Saya pelik apabila ibu bertanya sama ada saya terlibat dengan kejadian buli
di sekolah. Ibu beritahu sepupu saya ada datang ke rumah dan maklumkan bahawa
gambar saya dimuat naik di blog kerana membuli seorang pelajar.
“Saya terus periksa telefon bimbit saya dan terkejut melihat banyak nombor
yang tidak dikenali terpapar di skrin telefon saya. Kemudian saya semak akaun
Facebook, Twitter dan Instagram saya yang semuanya penuh dengan komen-komen dari
orang yang saya tak kenal. Mereka tuduh saya macam-macam, saya jadi takut,”
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Anak bongsu dari lima beradik itu kemudiannya bertindak menutup sementara
akaun lama sosialnya kerana tertekan dengan tohmahan orang ramai yang tidak tahu
keadaan sebenar.
“Saya juga tidak boleh tidur lena, susah untuk beri tumpuan ketika belajar
dan takut untuk keluar rumah kerana bimbang dicederakan,” katanya.
Baru-baru ini tersiar sebuah klip video di Facebook dan Youtube yang
memperlihatkan seorang pelajar lelaki dibelasah bertubi-tubi oleh seorang
pelajar yang kemudiannya turut disertai dua pelajar lain.
Pihak Pelajaran Negeri berkata ketiga-tiga pelajar terbabit sudah dikenakan
tindakan dibuang sekolah sementara mangsa dilapor tidak mengalami kecederaan
serius.
Luqman Al Hakim yang mengenali ketiga-tiga pelajar terbabit berkata ketika
kejadian dia berada di dalam kelas yang berlainan dan hanya mengetahui insiden
itu seminggu selepas kejadian.
“Saya hairan kenapa saya dikaitkan dalam kejadian itu, mungkin mereka ingat
saya yang terlibat sebab wajah saya mirip salah seorang daripada pelajar
berkenaan, kemudian gambar saya disebar di Internet,” katanya.
– BERNAMA

Apa yang hendak disiasat Zainal Abidin hanya saksi dalam kes ini tanya TKM Mansor

  • Susan Loone
  • Malaysiakini Jan 11 2013
 
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berkata laporan awal terhadap pembantu khasnya yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah untuk menutup kes gangguan seksual yang melibatkan seorang penjawat awam, "tidak membuktikan apa-apa".

NONEMansor (kiri) berkata laporan yang diterima sekembalinya dari Mekah
semalam adalah berdasarkan wawancara dalaman dengan pembantu khasnya itu yang berusia 56 tahun, Zainal Abidin Saad.

Apabila ditanya jika terdapat panel untuk menyiasat pembantunya itu berhubung dakwaan tersebut, Mansor berkata "tidak ada apa untuk disiasat".

"Apa yang hendak disiasat sedangkan Zainal Abidin hanya saksi dalam kes itu?" katanya ketika dihubungi.

Zainal Abidin sendiri telah menafikan dalam satu kenyataan lewat malam tadi, bahawa dia adalah suspek dalam kes itu, tetapi mengakui ditahan semalaman dalam lokap SPRM sebagai saksi.

Katanya, beliau (Zainal Abidin) terkejut membaca laporan berita mengenai kes yang membuatnya kelihatan seperti seorang pesalah, sambil menambah beliau sedang menimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terus mencemarkan reputasinya.

PKR Pulau Pinang bertegas untuk mempertahankan ahli mereka dan reputasi pejabat TKM yang telah tercemar oleh kejadian tersebut.

NONEUntuk ini, Mansor berkata, PKR telah menyediakan sepasukan
peguam untuk Zainal Abidin (kanan), yang pada 3 Januari lalu, ditahan SPRM di Seberang Jaya bersama dengan dua yang lain, termasuk bekas pegawai daerah Seberang Perai, Roslan Yahaya.

Roslan sejak itu dipindahkan ke pejabat sekretariat negeri manakala tempatnya diganti oleh Jusni Ismail.

Ketiga-tiga mereka ditahan kerana didakwa cuba menawarkan rasuah RM30,000 kepada seorang kerani untuk mendiamkan dakwaan gangguan seksual terhadap pegawai daerah tersebut.

Mengenai sama ada kedudukan Zainal Abidin sebagai pembantu khas dan kakitangan kerajaan negeri akan terjejas, Mansor berkata "tidak".

"Beliau adalah kakitangan kontrak kerajaan negeri. Pada masa ini, kedua-dua kedudukan itu tidak akan terjejas," kata Mansor yang juga pengerusi PKR negeri itu.